24 October 2015

Q&A: Hutang dan Pengarah Sdn Bhd




From: xx@yahoo.com
To: mr.radzi@yahoo.com
Sent: Friday, September 25, 2015 3:17 PM
Subject: bantuan nasihat



selamat petang.


Saya ingin meminta belas kasihan serta budi baik tuan/puan agar membantu saya dengan memberi pandangan dan nasihat. Saya sangat ketakutan serta buntu dengan masalah yang saya hadapi sekarang

Saya pernah bekerja di miri. Dan apabila saya sampai disana saya dapati company yang berstatus sdn.bhd tersebut bermasalah. Kemudian saya telah dipaksa untuk menjadi pengarah disebuah company tersebut dengan jaminan dari pengarah yang utama segala masalah company akan ditanggung beliau. Namun proses perlantikan saya sebagai company tidak sah kerana beliau tidak mengikut prosedur yang betul(meniru tandatangan pengarah sebelum ini dan saksi). Saya sudah meletak jawatan pada bulan 8 2014 dan meminta beliau melantik pengarah baru. Namun sekarang semua pemiutang mencari saya. Lebih malang saya tidak menyimpan sebarang dokumen perlantikan saya. Apa patut saya buat? adakah saya boleh mengatakan jawatan saya sebagai pengarah tidak sah kerana tidak ikut prosedur? Jika bergitu adakah saya terselamat dari bayaran hutang syarikat berkenaan? Apa patut saya buat?

Harap pihak tuan dapat membantu saya.



JAWAPAN

Salam sejahtera,



Terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami. Berikut merupakan maklumbalas berhubung soalan yang telah diajukan :

Tanggungjawab Pengarah Syarikat

Perkara yang perlu difahami ialah Pengarah terikat dengan Akta Syarikat apabila sudah dilantik untuk jawatan tersebut. Walaupun Pengarah tersebut hanya digunakan sebagai Penama atau tujuan lain, namun tanggungjawab sebagai Pengarah tetap ada dan tidak terlepas.

Secara teknikalnya, Pengarah adalah individu yang bertanggungjawab dalam mewakilkan Syarikat Sdn. Bhd. Sekiranya terdapat masalah di kemudian hari, maka secara tidak langsung Pengarah tersebut perlulah bertanggungjawab.

Perlantikan dan perletakan jawatan sebagai Pengarah Syarikat

Segala urusan perlantikan dan perletakan jawatan sebagai Pengarah Syarikat perlulah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Akta Syarikat dan diuruskan oleh pihak Setiausaha Syarikat yang telah dilantik.

Berdasarkan soalan Tuan/Puan, status sebagai Pengarah bolehlah merujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Setiausaha Syarikat yang dilantik. Selain itu, segala aduan dan permasalahan bolehlah berurusan terus dengan pihak SSM.

Hutang Syarikat

Secara amnya, Pengarah tidak bertanggungjawab terhadap hutang Syarikat secara peribadi kerana konsep entiti berasingan. Entiti berasingan membawa maksud sesebuah perniagaan atau Syarikat itu wujud sebagai satu entiti atau unit yang berasingan daripada Pemegang Saham dan para Pengarah.

Hutang yang dilakukan atas kapasiti Syarikat dan bagi tujuan perniagaan, akan terikat kepada Syarikat sahaja. Ianya tidak akan melibatkan para Pemegang Saham dan juga para Pengarah melainkan hutang atau liability tersebut merupakan pinjaman secara peribadi oleh para Pengarah dan Pemegang Saham.

Kesimpulan

Berdasarkan soalan Tuan/Puan, pihak Syarikat bolehlah mendapatkan nasihat, pandangan dan makluman yang lebih lanjut daripada Setiausaha Syarikat yang telah dilantik dan pihak SSM bagi mengetahui prosedur yang perlu dilakukan seterusnya.





Sekian. Harap penerangan di atas dapat membantu

03 September 2015

Q&A : Masalah antara Sdn Bhd akibat transaksi dengan Enterprise

From: xxx@yahoo.com

To: mr.radzi@yahoo.com

Sent: On Wednesday, September 2, 2015 12:10 PM

Subject: Masalah antara sdn bhd akibat transaksi dgn enterprise


Salam En.Radzi, sya ada permasalahan dalam menyediakan penyata kewangan syarikat yang baru ditubuhkan. syarikat ini mempunyai akaun satu akaun bank, tetapi semasa issuance of share, sebhagian besar wang itu diletakkan di bank enterprise, dan digunakkan utk menyelesikan segala urusan enterprise seperti membayar pemiutang, tetapi barang yang dibeli dari pemiutang tersebut digunakkan oleh sdn bhd dalam perniagaan. 
banyak bayaran sdn bhd dilakukan mengunakkan bank enterprise, sya jadi bingung untuk buat penyesuaian bank. sebab bank enterprise juga digunakan oleh director sendiri.
apa yang perlu saya lakukan. dan masalh yg lain pula, penghutang kami selalu tersalah buat bayaran ke dalam akaun enterprise. bukan tak nak tutup akaun tu tapi ada urusan masih belum selesai. mohon pencerahan dan pertolongan.

Sekian Terima Kasih,


JAWAPAN

Waalaikumsalam,

Terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami. Berikut merupakan maklumbalas berhubung soalan yang telah diajukan :

Penggunaan bank Enterprise dan Sdn. Bhd.
Merujuk kepada persoalan Tuan/Puan, sewajarnya setiap entiti Perniagaan sama ada Milikan Tunggal mahupun Syarikat Sdn. Bhd. perlu menggunakan akaun masing-masing yang berasingan bagi memudahkan entiti tersebut.
Pengasingan Akaun
Apa yang perlu dibuat adalah dengan mengasingkan transaksi antara Enterprise dan Sdn. Bhd. Belian bayaran, terimaan daripada penghutang dan semua transaksi yang melibatkan operasi Sdn. Bhd. direkodkan seperti biasa. Apa yang penting adalah tujuan transaksi tersebut walaupun ianya menggunakan medium pembayaran daripada entiti yang berbeza. Apa-apa yang melibatkan operasi Syarikat, ianya tetap perlu direkodkan

Notis makluman kepada Penghutang
Syarikat perlulah menghantar makluman berkaitan pertukaran entiti pernigaan tersebut. Ianya adalah bagi tujuan kawalan dalam sistem perekodan akaun Syarikat itu sendiri dan bagi memudahkan urusan Syarikat di kemudian hari.


Sekian. Harap penerangan di atas dapat membantu

18 March 2015

Pertanyaan mengenai Ambilan/Drawing


From: xxx@gmail.com

To: mr.radzi@yahoo.com

Sent: Wednesday, March 4, 2015 5:35 PM

Subject: Ambilan/ Drawing


Assalamualaikum En Radzi,

Saya ada terbaca komen-komen En di dalam blog, jadi saya amat berharap En dapat membantu saya untuk menyelesaikan kekusutan saya ini.

Saya memiliki sebuah syarikat milikan tunggal.Saya ada membuat "ambilan" yg banyak. bertujuan untuk keperluan peribadi seperti ubahsuai rumah. Persoalan saya adakah ambilan ini akan dikenakan cukai? Setahu saya milikan tunggal, cukai individu dan syarikat adalah sama.

Saya ada merujuk kepada akauntan yang membuat akaun untuk syarikat ini. Dia mengatakan tiada malasah sekiranya saya declare ambilan didalam akaun syarikat saya. Saya boleh letak sebagai "drawing" dalam balance sheet. Tetapi ada auditor yang saya rujuk mengatakan ini dikira sebagai "amount due to director". Sekiranya lhdn datang untuk buat semakan saya mungkin akan dikenakan denda.

Boleh terangkan kepada saya konsep ambilan ni? 
Adakah saya perlu letak sebagai "drawing" atau "amount due to director"?
Adakah ambilan ini akan dikenakan cukai?
Satu perkara lagi, saya ada ambil gaji bulanan beserta pembayaran epf. Adakah ini perkara yang dibenarkan untuk syarikat milikan tunggal?

Sangat berharap penjelasan dari En Radzi.

Terima Kasih.
 xxx 

JAWAPAN

Waalaikumsalam,

Terima kasih kerana mengunjungi blog kami. Berikut merupakan maklumbalas berhubung soalan yang telah diajukan :
Untuk makluman Cik/Puan, Perniagaan Milikan Tunggal ataupun Enterprise, akaun perniagaan mereka tidak perlu diaudit. Keuntungan perniagaan akan dikira sebagai pendapatan individu.

Konsep ambilan adalah perkara dimana pemilik mengeluarkan wang tunai atau bank atau barang niaga untuk kegunaannya sendiri. Ambilan tidak dikenakan cukai. Pada kebiasaanya terma ini wujud dalam akaun Perniagaan.

Manakalah istilah Pengarah (Director) dan perkara ‘Amount due to/from Director’ digunakan di dalam Syarikat Sdn Bhd. Oleh yang demikian, segala ambilan oleh Pengarah diletakkan sebagai Amaun Terhutang dari Pengarah (Amount due from Director) di Kunci Kira-kira.

Bagi akaun perniagaan Milikan Tunggal, ambilan tidak akan dikenakan cukai tetapi ia juga tidak diiktiraf sebagai perbelanjaan perniagaan. Oleh itu, apabila perniagaan tidak mempunyai perbelanjaan yang banyak, sekaligus ia akan meningkatkan keuntungan perniagaan dan seterusnya meningkatkan cukai.

Gaji Bulanan - Terdapat dua cara untuk merekod gaji bulanan dan EPF yang diterima oleh pemilik perniagaan iaitu :
a.       Direkod sebagai ambilan di Kunci Kira-Kira atau
b.      Direkod sebagai belanja gaji di Penyata Pendapatan
Pendapatan Pengajian dari Milikan Tunggal adalah merupakan pendapatan bagi pemilik. Maka, jika ianya direkod sebagai ambilan di Kunci Kira-Kira, ia tidak akan dilaras semula di dalam pengiraan cukai. Pelarasan ialah menambah semula perbelanjaan yang tidak dibenarkan iaitu perbelanjaan peribadi dan tidak berkaitan dengan perniagaan tersebut.
Sekiranya gaji direkod sebagai belanja di bawah Penyata Pendapatan, maka di dalam proses pengiraan cukai, gaji pemilik ini perlu diselaraskan semula. Ia adalah kerana gaji pemilik adalah dianggap sebagai belanja peribadi atau juga ambilan.

Sekian. Harap penerangan di atas dapat membantu



29 January 2015

Q&A : Pertanyaan penubuhan Syarikat


From: xxx@gmail.com

To: mr.radzi@yahoo.com

Sent: On Saturday, January 24, 2015 4:31 PM

Subject: Pertanyaan penubuhan Syarikat


Salam En. Radzi,

Saya terjumpa blog tuan dan ingin bertanya tetang situasi saya.
Saya berkerja dan menetap di xxx sehingga sekarang. Saya akan membeli sebidang tanah di xxx berharga RM200k pada bulan March ini. Tanah tersebut ialah tanah pertanian yang mempunyai pokok getah. Saya bercadang untuk membeli dan terus mencagarkan tanah itu supaya mendapat modal untuk memajukan tanaman dan ternakan kambing di tanah tersebut.

Soalan saya;

  1. Pada situasi diatas, adakah lebih baik membeli tanah atas nama personal atau nama syarikat?
  2.  Untuk menjalankan aktivity pertanian dan ternakan dengan kos permulaan sekitar 20,000 - 50,000 berapakah modal berbayar yang patut?
  3. Perlukah modal berbayar ini di naikan dari RM2 dan apa kebaikannya?
  4. Berapa lamakah masa yang diambil untuk menubuhkan syarikat sdn bhd sehingga kepada pembukaan akaun bank syarikat?
  5. Adakah lebih baik jika kesemua aktiviti diatas hanya dengan syarikat enterprise?

Harap mendapat maklum balas dari tuan.
Terima kasih.
xxx


JAWAPAN

Waalaikumsalam,

Terima kasih kerana mengunjungi blog kami dan mengajukan soalan kepada pihak kami. Berikut merupakan maklumbalas berhubung soalan yang telah diajukan :

1.      Aset Syarikat dan aset pemilik

Terpulang kepada individu itu sendiri sama ada membeli tanah atas nama peribadi ataupun Syarikat. Jika dibeli atas nama Syarikat, ianya akan menjadi aset dan hak milik Syarikat. Jika dibeli atas nama individu pula, tanah tersebut boleh juga dimasukkan sebagai aset Syarikat.

Pada pandangan kami, tanah tersebut dibeli atas nama individu. Manakala Syarikat pula boleh membayar sewa kepada individu tersebut atas penggunaan tanah tersebut.

2.      Modal berbayar

Jumlah Modal berbayar adalah terpulang kepada kemajuan dan keperluan kewangan Syarikat tersebut.

Untuk makluman, apabila sebuah Syarikat menerbitkan saham, maka  pihak yang melanggan saham tersebut wajib membayar saham yang dilanggan. Modal saham boleh ditingkatkan melalui secara Tunai (Cash) atau Bukan Tunai (Non Cash). Bukan Tunai merujuk kepada selain daripada Tunai seperti Kenderaan, Bangunan, Tanah dan lain-lain yang boleh dinilaikan secara rasional.

Saham tersebut merupakan modal perniagaan bagi Syarikat. Apabila saham telah dibayar oleh pihak yang melanggan, maka hakmilik sepenuhnya oleh Syarikat dalam menggunakan modal tersebut. Oleh yang demikian, modal berbayar boleh membantu Syarikat dalam menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih teratur.

3.      Penambahan modal berbayar dan kebaikannya

Secara amnya, untuk menubuhkan Syarikat memerlukan kos permulaan minimum bayaran sebanyak RM2,000 dan ke atas. Ini merupakan sebahagian modal awal yang dibayar oleh Pemegang Saham itu sendiri. RM2 merujuk kepada jumlah nilai minimum saham yang perlu ada di Syarikat.

Oleh yang demikian, modal saham berbayar RM2 sepatutnya menjadi lebih daripada RM2,000 (bersesuaian dengan kos penubuhan Syarikat). Secara amnya, modal berbayar yang lebih tinggi dapat mengukuhkan perniagaan itu sendiri.

4.      Tempoh untuk menubuhkan Syarikat Sdn Bhd

Tempoh untuk menubuhkan Syarikat Sdn. Bhd. adalah dalam tempoh 4-6 hari waktu bekerja sahaja. Pembukaan akaun bank Syarikat boleh dilakukan selepas Syarikat ditubuhkan. Adalah dinasihatkan untuk memasukkan modal berbayar (cash) ke dalam bank Syarikat dalam tempoh sebulan selepas Syarikat ditubuhkan.

5.      Enterprise dan Sdn Bhd

Perbezaan antara Enterprise dan Syarikat Sdn Bhd adalah :

  • Penyata perakaunan bagi Enterprise tidak perlu diaudit
  • Tiada Laporan Tahunan yang perlu diserah simpan kepada SSM bagi Enterprise
  • Penubuhan Enterprise lebih mudah.
  •  Kelemahan Enterprise – setiap urusan berkaitan dengan SSM tidak boleh diwakilkan oleh pihak ketiga. Tidak seperti Syarikat Sdn. Bhd. yang boleh diwakilkan oleh Setiausaha Syarikat.
Jika melibatkan modal dan usaha yang banyak dan berterusan dalam perniagaan, entity Syarikat Sdn. Bhd. adalah dicadangkan. Walaupun kos agak tinggi berbanding Enterprise, namun ianya mempunyai kelebihan tersendiri.

Secara amnya, Syarikat Sdn. Bhd. kebanyakkan ditubuhkan bagi mereka yang agak serius dan komited dengan perniagaan mereka. Syarikat Sdn. Bhd. juga dilihat sebagai lebih professional dan selamat kerana ia dapat memastikan kesinambungan Syarikat itu akan berterusan dan ianya boleh diwarisi. Prosedur-prosedur Syarikat Sdn. Bhd. adalah tertakluk dibawah Akta Syarikat 1965.


Namun bagi peniaga kecil-kecilan, perniagaan Enterprise adalah digalakkan.

KESIMPULAN

Pada pendapat kami, jenis perniagaan yang boleh ditubuhkan sama ada Syarikat Sdn Bhd atau Enterprise adalah terpulang kepada individu itu sendiri dan juga sejauh mana individu itu komited dalam menjalankan perniagaan tersebut.

Sekian. Harap penerangan di atas dapat membantu.


08 January 2015

Q&A : Pertanyaan mengenai penyediaan akaun Syarikat

From: xxx@gmail.com

To: mr.radzi@yahoo.com

Sent: Tuesday, December 30, 2014 1:21 PM

Subject: Penyediaan Akaun



Salam,

Saya baru berkerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat Sdn Bhd. Saya masuk kerja bos saya bagi saya penyata akaun ,di minta saya buat akaun untuk hantar ke audit. Bila saya tanyakan bukti akaun keluar masuk dia cakap tiada. Syarikat ni baru ditubuhkan pada awal tahun ini dan saya akaun yang pertama. Mcm mana utk saya buat akaun untuk hantar ke audit tu ye?? Dan satu soalan saya sebagai kerani akaun adakah perlu sy membuat akaun cash flow, profit & loss dan lain-lain???
Harap sangatttttttt encik membantu :'( :'(

JAWAPAN :

Waalaikumsalam.

Terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami. Berikut merupakan maklumbalas berhubung soalan yang telah diajukan :

AKAUN

Seksyen 167 Akta Syarikat memperuntukkan bahawa tiap-tiap Syarikat, Pengarah dan Pengurus itu mesti menyimpan rekod perakaunan dan rekod lain yang membolehkan akaun Penyata Pendapatan dan Kunci Kira-Kira disediakan dari semasa ke semasa dengan telus.

Akaun-akaun ini hendaklah disediakan mengikut piawaian perakaunan yang diluluskan. Penyata kewangan beserta semua dokumen yang melibatkan transaksi perlu disimpan sekurang-kurangnya 7 tahun.

Syarikat boleh menyediakan sendiri akaun Syarikat tersebut ataupun mengupah pihak tertentu untuk menyediakan akaun bagi pihak Syarikat. Sekiranya memilih untuk mengupah orang menyediakan akaun Syarikat, semua dokumen berkaitan dalam melengkapkan akaun Syarikat perlu disediakan seperti :
  • Penyata Bank
  • Buku cek
  • Baucer Pembayaran
  • Resit-resit
  • Invois Jualan, Invois belian
  • Penyata KWSP dan Perkeso
  • Buku Tunai
  • Dan lain-lain yang berkaitan

Pihak yang dilantik oleh Syarikat akan menyediakan set penuh akaun yang mengandungi seperti perkara-perkara di bawah :
  • Imbangan duga (Trial Balance)
  • Kunci Kira-kira
  • Penyata Pendapatan
  • Penyata Penyesuaian Bank
  • Senarai Penghutang (Debtor Aging)
  • Senarai Pemiutang (Creditor Aging)
  • Lejar Am (General Ledger)
  • Dan lain-lain yang berkaitan

AUDIT

Setiap tahun, Syarikat perlu menghantar kepada Juruaudit Bebas untuk mengaudit Penyata Kewangan. Oleh yang demikian, perakaunan yang telah disediakan seperti yang dimaklumkan di atas perlu di audit.

Adalah menjadi tanggungjawab kepada Pengarah dan Syarikat untuk melantik Juruaudit dan seterusnya mengaudit akaun Syarikat. Selain itu, setiap Syarikat wajib menyerah simpan Penyata Kewangan yang telah diaudit ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada persoalan daripada pihak Tuan/Puan, Penyata Kewangan yang lengkap boleh disediakan melalui sistem perakaunan yang sedia ada digunakan di Malaysia. Cash flow atau aliran tunai perlu dibuat untuk menunjukkan aliran masuk dan aliran keluar sesuatu transaksi.

Pihak Tuan/Puan juga perlu menyediakan dokumen-dokumen sokongan seperti yang dinyatakan di atas bagi memudahkan proses perakaunan dilakukan dengan lengkap.

Sekian. Harap penerangan di atas dapat membantu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...