08 January 2015

Q&A : Pertanyaan mengenai penyediaan akaun Syarikat

From: xxx@gmail.com

To: mr.radzi@yahoo.com

Sent: Tuesday, December 30, 2014 1:21 PM

Subject: Penyediaan Akaun



Salam,

Saya baru berkerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat Sdn Bhd. Saya masuk kerja bos saya bagi saya penyata akaun ,di minta saya buat akaun untuk hantar ke audit. Bila saya tanyakan bukti akaun keluar masuk dia cakap tiada. Syarikat ni baru ditubuhkan pada awal tahun ini dan saya akaun yang pertama. Mcm mana utk saya buat akaun untuk hantar ke audit tu ye?? Dan satu soalan saya sebagai kerani akaun adakah perlu sy membuat akaun cash flow, profit & loss dan lain-lain???
Harap sangatttttttt encik membantu :'( :'(

JAWAPAN :

Waalaikumsalam.

Terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami. Berikut merupakan maklumbalas berhubung soalan yang telah diajukan :

AKAUN

Seksyen 167 Akta Syarikat memperuntukkan bahawa tiap-tiap Syarikat, Pengarah dan Pengurus itu mesti menyimpan rekod perakaunan dan rekod lain yang membolehkan akaun Penyata Pendapatan dan Kunci Kira-Kira disediakan dari semasa ke semasa dengan telus.

Akaun-akaun ini hendaklah disediakan mengikut piawaian perakaunan yang diluluskan. Penyata kewangan beserta semua dokumen yang melibatkan transaksi perlu disimpan sekurang-kurangnya 7 tahun.

Syarikat boleh menyediakan sendiri akaun Syarikat tersebut ataupun mengupah pihak tertentu untuk menyediakan akaun bagi pihak Syarikat. Sekiranya memilih untuk mengupah orang menyediakan akaun Syarikat, semua dokumen berkaitan dalam melengkapkan akaun Syarikat perlu disediakan seperti :
  • Penyata Bank
  • Buku cek
  • Baucer Pembayaran
  • Resit-resit
  • Invois Jualan, Invois belian
  • Penyata KWSP dan Perkeso
  • Buku Tunai
  • Dan lain-lain yang berkaitan

Pihak yang dilantik oleh Syarikat akan menyediakan set penuh akaun yang mengandungi seperti perkara-perkara di bawah :
  • Imbangan duga (Trial Balance)
  • Kunci Kira-kira
  • Penyata Pendapatan
  • Penyata Penyesuaian Bank
  • Senarai Penghutang (Debtor Aging)
  • Senarai Pemiutang (Creditor Aging)
  • Lejar Am (General Ledger)
  • Dan lain-lain yang berkaitan

AUDIT

Setiap tahun, Syarikat perlu menghantar kepada Juruaudit Bebas untuk mengaudit Penyata Kewangan. Oleh yang demikian, perakaunan yang telah disediakan seperti yang dimaklumkan di atas perlu di audit.

Adalah menjadi tanggungjawab kepada Pengarah dan Syarikat untuk melantik Juruaudit dan seterusnya mengaudit akaun Syarikat. Selain itu, setiap Syarikat wajib menyerah simpan Penyata Kewangan yang telah diaudit ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada persoalan daripada pihak Tuan/Puan, Penyata Kewangan yang lengkap boleh disediakan melalui sistem perakaunan yang sedia ada digunakan di Malaysia. Cash flow atau aliran tunai perlu dibuat untuk menunjukkan aliran masuk dan aliran keluar sesuatu transaksi.

Pihak Tuan/Puan juga perlu menyediakan dokumen-dokumen sokongan seperti yang dinyatakan di atas bagi memudahkan proses perakaunan dilakukan dengan lengkap.

Sekian. Harap penerangan di atas dapat membantu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...