30 April 2013

Tugas seorang Pengarah Syarikat.


            Tugas Pengarah Syarikat boleh dikelaskan kepada tugas fidusiari dan tugas statutori. Adalah menjadi tanggungjawab Pengarah Syarikat untuk menjalankan tugas fidusarinya dengan jujur dan menggunakan kerajinan yang munasabah (Seksyen 132 (1) Akta Syarikat 1965). Sementara itu, tugas seseorang Pengarah Syarikat menurut statutori adalah seperti yang terdapat di dalam Akta Syarikat 1965 iaitu:
a)      Mengadakan AGM (Annual General Meeting) (Seksyen 143, Akta Syarikat 1965)
b)      Menyediakan dan menyerahkan kepada pendaftar Syarikat Penyata Pulangan Tahunan 
(Seksyen 165,Akta Syarikat 1965)
c)      Menyimpan rekod perakaunan dengan sempurna (Seksyen 167 Akta Syarikat 1965)
d)     Membentangkan Akaun, Kunci Kira-Kira dan Laporan Pengarah Syarikat dalam AGM 
(Seksyen 169,Akta Syarikat 1965)
e)      Melantik Juruaudit pertama (Seksyen 172 Akta Syarikat 1965)
f)       Melantik Setiausaha  yang berkelayakan (Seksyen 139 Akta Syarikat 1965)
  
              Selain daripada itu, Artikel Syarikat biasanya memberi kuasa pengurusan kepada Pengarah Syarikat untuk mengendalikan perniagaan Syarikat (Artikel 73). Pengarah perlulah bertanggungjawab ke atas urus tadbir Syarikat dan tidak menyalahgunakan kuasa tersebut untuk kepentingan diri atau pihak-pihak tertentu. Antara kuasa dan tugas yang diberikan kepada Pengarah mengikut Artikel adalah:

a)      Membayar kesemua perbelanjaan dalam promosi dan pendaftaran Syarikat.
b)      Menjalankan semua kuasa Syarikat untuk meminjam wang dan untuk menggadai atau menanggung akujanji, harta, dari modal yang tidak dipanggil.
c)      Menjalankan kesemua kuasa Syarikat yang berhubung dengan mana-mana meterai rasmi untuk kegunaan di luar Malaysia dan yang berhubung dengan daftar-daftar cawangan.
d)     Melantik mana-mana pihak untuk menjadi wakil Syarikat melalui surat kuasa wakil.
e)      Menandatangani, mengeluar, menerima dan mengesahkan semua cek, nota perjanjian, draf, bil pertukaran dan lain-lain instrumen oleh mana-mana dua orang pengarah Syarikat atau apa-apa cara yang diputuskan dari semasa ke semasa.
f)       Menyebabkan minit-minit dibuat berhubung dengan semua perlantikan pegawai-pegawai Syarikat, nama Pengarah Syarikat yang menghadiri mesyuarat dan semua prosiding dalam mesyuarat.

               Secara amnya, Pengarah mempunyai tanggungjawab yang besar di dalam sesebuah Syarikat. Mereka perlu menentukan hala tuju Syarikat, menilai prestasi perniagaan dan memastikan perancangan dilaksanakan dan sumber hasil Syarikat digunakan dengan betul serta membuat keputusan bagi kepentingan Syarikat. Sekiranya pihak Pengarah mematuhi akan segala peruntukan dan undang-undang yang ada, ianya akan melicinkan perjalanan Syarikat dan kejayaan syarikat dapat dicapai.

              Berhubung dengan elaun Pengarah, tiada peruntukan yang menyatakan elaun Pengarah perlu dan wajib dinyatakan di dalam ‘Memorandum and Articles of Association’. Pada kebiasaannya, perkara ini di bincangkan di dalam Mesyuarat Agung bagi menetapkan jumlah elaun bagi setiap Pengarah.  Artikel 70 Jadual ke-4 menjelaskan segala pembayaran ‘remuneration’ kepada Pengarah samaada dalam bentuk gaji atau yuran mestilah mendapat persetujuan di dalam mesyuarat agung.

             


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...