22 December 2014

Pendaftaran GST meningkat kepada 208,540



KUALA LUMPUR: Jumlah syarikat yang mendaftar untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 208,540 sehingga 12 Disember, peningkatan 3,548 berbanding sehari sebelumnya, kata Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Jumlah syarikat yang mendaftar untuk GST kini melepasi sasaran kerajaan sebanyak 140,000 syarikat sehingga akhir tahun ini.

Perniagaan dengan jumlah jualan tahunan kurang daripada RM500,000 turut digalakkan untuk mendaftar sebagai persediaan sekiranya jumlah jualan mereka melepasi RM500,000 pada masa depan.
Mereka mempunyai masa sehingga 31 Disember 2014 untuk mendaftar. Sistem percukaian baharu itu akan dilaksanakan mulai 1 April 2015.
http://www.bharian.com.my/node/22989

15 December 2014

Kajian menyeluruh penyusutan nilai ringgit sedang dijalankan - Mustapa



KOTA BHARU: Kerajaan sedang menjalankan kajian menyeluruh berhubung penyusutan nilai ringgit, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, kajian diselaraskan dengan beberapa pihak termasuk MITI, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk memastikan penyusutan nilai ringgit tidak mendadak dan memberi kesan kepada ekonomi negara.
"Kita mempunyai pakar dalam kerajaan, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan, EPU dan MITI yang sedang mengkaji perkara ini. "Apa yang berlaku ada baik dan buruknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Amal Jariah Bank Islam dan Dua Kereta BMW Kepada Pemenang Kempen BMW Pembiayaan Peribadi-i 2014, di sini, hari ini.Mustapa berkata, sebagai sebuah negara perdagangan, penyusutan nilai ringgit sudah tentu memberi kesan dan kajian teliti amat perlu dilakukan untuk menentukan kesannya ke atas import, eksport, inflasi, guna tenaga dan lain-lain.

"Turun naik dalam berniaga ini biasa, tidak ada suatu yang tetap dalam dunia ini, kadang-kadang kita untung kadang-kadang kita rugi sedikit. "Kadang-kadang ringgit naik, kadang-kadang jatuh, ini perkara biasa ikut keadaan pasaran.
"Sehari dua ini, ia turun sedikit dan mungkin suatu hari nanti ia akan naik pula, ini perkara biasa dalam pasaran, yang penting kita tidak mahu kejatuhan yang mendadak kerana ia akan memberi kesan yang teruk," katanya, dengan menambah setakat ini ekonomi negara adalah kukuh. Ditanya kemungkinan ringgit harus ditambat berbanding dolar AS, Mustapa berkata langkah itu tidak perlu kerana ia juga mempunyai kesan buruk dan baik.
http://www.bharian.com.my/node/23185

10 December 2014

Jabatan Akauntan Negara diminta tingkat aktiviti penguatkuasaan



KUALA LUMPUR: Jabatan Akauntan Negara Malaysia diminta supaya meningkatkan aktiviti penguatkuasaan serta menambah baik dan memperketatkan sistem kawalan dalaman bagi mempertingkatkan lagi pengurusan Wang Tidak Dituntut (WTD). Menurut Laporan Ketua Audit Negara tahun 2013 Siri 3, kriteria dan pemilihan kes untuk pemeriksaan WTD perlu memberi fokus kepada syarikat atau firma yang berisiko.

"Pada pendapat Audit, matlamat penguatkuasaan Akta WTD 1965 tidak tercapai kerana skop Bahagian Pengurusan Amanah dan Sekuriti (BPAS) belum meliputi pengesanan syarikat atau firma yang tidak menyerahkan WTD," demikian menurut laporan itu.

Akauntan Negara Malaysia dilantik sebagai Pendaftar WTD dibawah Akta WTD 1965.
Peranan Pendaftar WTD itu dijalankan oleh BPAS, Jabatan Akauntan Negara dan sehubungan itu, BPAS bertanggungjawab memastikan penguatkuasaan Akta WTD 1965 dilaksanakan dengan berkesan dan sistematik. Laporan Ketua Audit berkata BPAS perlu menyediakan senarai semak sebagai Prosedur Operasi Standard yang perlu dipatuhi oleh semua pegawainya semasa pemeriksaan WTD. Sejak penubuhan unit WTD, BPAS berjaya meningkatkan jumlah serahan Wang Tak Dituntut sebanyak RM3.844 juta dari tahun 2005 hingga 2012. Sementara itu, Laporan itu turut menyebut data serahan WTD yang terdedah kepada unsur pindaan boleh mengundang risiko penyelewengan.

"Sehubungan itu, penambahbaikan proses memuat naik data serahan maklumat empunya WTD (UMA-3) ke dalam sistem Borang Daftar Wang Tak Dituntut (G-UMIS) perlu dilaksanakan," kata laporan itu.

Antara pelaksanaan yang dicadangkan ialah UMA-3 dalam bentuk Microsoft Excel perlu dibuat dalam format dilindungi daripada sebarang pindaan serta mempunyai elemen kawalan.

Antara kelemahan sistem kawalan dalaman ialah maklumat WTD dalam UMA-3 berbentuk salinan digital yang diterima daripada entiti boleh dibuat pindaan sebelum dimuat naik ke dalam Sistem G-UMIS.

SUMBER:http://www.bharian.com.my/node/16800
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...