21 August 2014

MB NEGERI SEMBILAN PUAS HATI LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA


SEREMBAN: Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau gembira kerana Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 2013 mengenai Negeri Sembilan pada keseluruhannya adalah memuaskan dengan hanya terdapat beberapa kelemahan yang perlu dibaiki.

"Macam kelemahan Rembau Crystal Sdn Bhd (RCSB), anak syarikat Yayasan Negeri Sembilan adalah disebabkan tidak mengadakan mesyuarat ahli lembaga pengarah (setiap tiga bulan sekali) dan ia bukan 
kelemahan dari segi perniagaan (operasi)," katanya.


Sehubungan itu, katanya beliau telah mengarahkan RCSB supaya mengadakan mesyuarat ahli lembaga pengarah mengikut apa yang termaktub dalam undang-undang penubuhannya.






Dari segi operasi RCSB pula, tidak ada apa-apa yang diragui oleh pihak Ketua Audit Negara baik dari segi arahan Perbendaharaan ataupun peraturan Kewangan Negara, katanya kepada pemberita pada majlis penerangan dan pemahaman mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) anjuran Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Mohamad berkata dalam laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, audit mengenai Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) juga pada keseluruhannya adalah memuaskan dengan beberapa perkara yang perlu dibaiki.


Katanya kerajaan negeri telah meletakkan pengerusi dan pengurus besar baharu untuk memastikan LPNS ditadbir urus dengan baik.




Mengenai empat projek pembangunan dan penyenggaraan kawasan pelancongan yang telah siap tetapi terbiar seperti dinyatakan dalam laporan itu, beliau berkata projek berkenaan bukannya di bawah LPNS.


Empat projek berkenaan iaitu bilik pameran ular dan sangkar ular di Hutan Lipur Ulu Bendul adalah di bawah Jabatan Perhutanan manakala kemudahan di Jeram Gading Resort di bawah Majlis Daerah Jelebu dan Pusat Informasi Pengkalan Nelayan Sungai Timun di bawah Jabatan Perikanan, katanya.

"Pengurusan projek ini bukan di bawah LPNS tetapi di bawah jabatan dan PBT berkenaan. Perkara ini ada pertindihan dan perlu diselaraskan semula. Saya sudah bawa perkara ini dalam mesyuarat supaya ada satu badan yang akan menguruskan hal ini.

"Dari segi yang lain-lain, saya amat gembira kerana badan-badan lain termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diaudit semua laporannya memuaskan," katanya. -- Bernama






Artikel ini disiarkan pada : 8/4/2014

Sumber : http://www.astroawani.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...