TANGGUNGJAWAB PENGARAH SYARIKAT TERHADAP PEMATUHAN AKTA SYARIKAT DAN AKTA CUKAI

From: xxxx@yahoo.com
To: mr.radzi@yahoo.com
Sent: Wednesday, February 27, 2013 3:04 PM
Subject: Pertanyaan penting berkenaan akaun - audit - cukai

Assalamualaikum

apa khabar encik radzi? maaf jika saya mengambil sedikit masa encik radzi utk bertanya ttg akaun, cukai dan audit .

saya memiliki sebuah syarikat sdn bhd sekarang ini dan apa yg saya tahu ialah saya perlu bayar cukai perniagaan kepada kerajaan . cuma proses dan perhitungan cukai itu dibuat bagaimana konsepnya . mcm sekarang ni saya tidak mengambil akauntan kewangan sebab syarikat saya kecik je . so saya urus bersama istri . resit resit saya simpan dan susun ikut tarikh pengeluaran , cuma saya tidak buat akaun book dan mencatat satu persatu dari awal pengeluaran hingga sekarang , cuma susunan invoice dan resit mengikut pengeluaran dah saya buat . 

adakah selepas itu saya kene assign orang utk buat akaun saya atau saya terus beri pd juruaudit dan dia akan buat audit . 

cuma saya pening , selepas juruaudit buat audit akaun syarikat saya , adakah dia yg akan submit ke LHDN dan settlekan pembayaran cukai saya tanpa perlu saya sendiri submit ke LHDN atau bagaimana prosesnya itu .

boleh encik radzi terangkan pada saya berkenaan hal ini .


terima kasih

JAWAPAN

Assalamualaikum Tuan, saya cuba huraikan;

Adalah menjadi tanggungjawab Pengarah dan Syarikat untuk menyediakan Laporan Tahunan  (Annual Retun) dan Penyata Kewangan Beraudit (Audit Report) Syarikat Sdn. Bhd. untuk diserah simpan kepada SSM. Dokumen perlu disediakan sebelum tarikh tamat tempoh (maksimum 6 bulan selepas tutup akaun). Syarikat dan Pengarah boleh dikenakan denda daripada pihak SSM atas kegagalan mematuhi undang-undang yang ada.

Akaun.

Seksyen 167 Akta Syarikat memperuntukkan bahawa tiap-tiap Syarikat dan Pengarah dan pengurus itu mesti menyimpan rekod perakaunan dan rekod lain yang membolehkan akaun-Akaun Untung Rugi dan Kunci Kira-Kira disediakan dari semasa ke semasa dengan telus. Akaun-akaun ini hendaklah disediakan mengikut piawaian perakaunan yang diluluskan. Penyata kewangan beserta semua dokumen yang melibatkan transaksi perlu disimpan sekurang-kurangnya 7 tahun.

Kesimpulannya, Tuan boleh menyediakan sendiri akaun Syarikat tersebut ataupun mengupah pihak tertentu untuk menyediakan akaun bagi pihak Syarikat. Sekiranya Tuan memilih untuk mengupah orang menyediakan akaun Syarikat, Tuan perlu menyediakan semua dokumen berkaitan dalam melengkapkan akaun Syarikat. Pihak yang dilantik oleh Syarikat akan menyediakan set penuh akaun yang mengandungi seperti perkara-perkara di bawah:
  • Kunci Kira-kira
  • Penyata Untung Rugi
  • Penyata Penyesuaian Bank
  • Senarai Penghutang (Debtor Aging)
  • Senarai Pemiutang (Creditor Aging)
  • Lejar Am (General Ledger)
  • Imbangan Duga (Trial Balance) dll
Audit.

Setiap tahun,Syarikat perlu menghantar kepada Juruaudit Bebas untuk mengaudit Penyata Kewangan. Oleh yang demikian, perakaunan yang telah disediakan seperti yang dimaklumkan di atas perlu di audit. Adalah menjadi tanggungjawab kepada Pengarah dan Syarikat untuk melantik Juruaudit dan seterusnya mengaudit akaun Syarikat. Selain itu, setiap Syarikat wajib menyerah simpan Penyata Kewangan yang telah diaudit ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Perkara ini kebiasaanya akan dinasihati oleh pihak Setiausaha Syarikat Tuan.

Laporan Tahunan (Annual Return)

Setiap Syarikat wajib menyediakan Laporan Tahunan (Annual Return) dan Penyata Kewangan Beraudit (Audit Report) untuk diserah simpan kepada SSM setiap tahun. Laporan Tahunan ini digunakan semasa Mesyuarat Agung tahunan (AGM).

Untuk makluman, pihak Setiausaha Syarikat akan menguruskan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan perkara di atas.

Cukai

Adalah menjadi tanggungjawab setiap Syarikat untuk sentiasa mengemaskini penyata akaun kewangan. Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang C) adalah dokumen yang diperlukan oleh setiap perniagaan iaitu pembayar cukai untuk diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN). Setiap pendapatan perlulah diistiharkan. Setiap Penyata Kewangan yang diistiharkan perlulah menunjukkan akan keseluruhan transaksi perniagaan sebaik mungkin. Ini adalah tanggungjawab Pemilik mahupun Syarikat

Jenis-jenis borang cukai pendapatan bagi Syarikat Sdn. Bhd. Dan individu yang perlu diserahkan kepada LHDN adalah:


Borang C dan Borang R
Borang Penyata Cukai Pendapatan Syarikat yang perlu dikemukakan kepada LHDN dalam tempoh 7 bulan selepas tarikh penutupan akaun.

Borang E dan EA

Penyata Saraan bagi melaporkan pendapatan atau gaji pekerja.

Borang B

Borang Penyata Cukai Pendapatan Individu yang menerima pendapatan daripada perniagaan dan penggajian.

Borang BE
Borang Penyata Cukai Pendapatan Individu yang menerima penggajian daripada majikan.

Borang CP204
Borang anggaran cukai yang perlu dibayar bagi sesuatu tahun taksiran.


Merujuk kepada Seksyen 83 (1A), Akta Cukai Pendapatan 1967, setiap majikan perlu memberikan penyata borang EA kepada tiap-tiap pekerja selewat-lewatnnya pada atau sebelum hari terakhir bulan Februari tahun berikutnya. Penyata yang perlu di isi adalah salah satu dari dokumen berikut :

EA – Penyata Gaji untuk pekerja SWASTA.
Borang ini akan disertakan bersama-sama dengan Borang E yang diposkan kepada Encik. Sekiranya, Syarikat tidak menerimanya, Borang EA boleh dimuat turun melalui laman web. Borang EA tidak perlu dikemukakan kepada LHDN. Ianya hanya perlu diserahkan kepada pekerja.

Skim Ansuran CP204
Bagi Syarikat yang telah sedia beroperasi, anggaran cukai hendaklah dibayar secara ansuran yang sama banyak mulai bulan ke 2 tempoh asas bagi sesuatu tahun taksiran.

Bagi Syarikat yang baru beroperasi, bayaran ansuran bermula pada bulan ke 6 dalam tempoh asas sesuatu tahun taksiran misalnya dibayar pada bulan ke 6 selepas Syarikat memulakan perniagaan.

Syarikat hendaklah membayar ansuran cukai yang telah dianggarkan selewat-lewatnya pada hari ke 10 setiap bulan.Apabila cukai sebenar bagi sesuatu tahun taksiran telah ditentukan, baki cukai iaitu cukai sebenar setelah menolak bayaran ansuran (jika ada) hendaklah dibayar tidak lewat daripada hari terakhir 7 bulan selepas tarikh penutupan akaun..

Merujuk kepada kes Tuan, jika Juruaudit yang mengaudit akaun bagi Syarikat Tuan mempunyai Ejen Cukai, Ejen Cukai tersebut akan menguruskan hal ehwal cukai seperti yang dimaklumkan di atas kepada pihak LHDN.

Sekian, terima kasih.

p/s: Semoga membantu.


Diterbitkan pada 1 Mac 2013
Radzi & Co.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...