05 January 2017

LHDN NASIHAT ARTIS ISYTIHAR DULU, BAYAR KEMUDIAN


Kegagalan sesetengah artis membuat pengisytiharan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyebabkan mereka berdepan masalah.
Ketua Pegawai Eksekutif Perhubungan Awam Media LHDN, Masrun Maslim berkata ia berlaku apabila artis terbabit keliru atau tidak memahami prosedur sebenar ketika berurusan dengan agensi itu.
“Perkara pertama perlu diutamakan adalah mengisytiharkan berapa saja jumlah pendapatan yang mereka peroleh walaupun pendapatan itu tidak tetap misalnya hanya dapat tawaran tiga bulan berlakon untuk setahun.
“Bayaran adalah perkara kedua kerana hanya selepas membuat pengisytiharan baru tahu berapa banyak jumlah yang perlu dikenakan cukai.
“Sikap tidak ambil peduli memang ada dalam kalangan selebriti, mereka sama ada faham atau buat-buat tidak faham,” katanya kepada Malaysiakini.
Akhbar Harian Metro baru-baru ini melaporkan ramai artis tanah air berstatus jutawan enggan membayar cukai pendapatan malah tidak pernah menghantar borang berkaitan ke LHDN.
Akhbar itu turut melaporkan kenyataan Timbalan Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN Datuk Mohd Nizom Sairi bahawa pihaknya mempunyai sumber rujukan kukuh mengesan golongan artis yang culas mengisytihar harta.
Katanya, agensi itu sentiasa memantau perkembangan pendapatan artis walaupun golongan terbabit berdiam diri untuk mengelak daripada membayar cukai.
Susulan itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Abdul Jamil dilapor berkata tidak semua artis hidup mewah dan layak membayar cukai.
Rozaidi atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi menyatakan hanya 10 peratus artis berjaya mencipta nama dan meraih pendapatan tinggi dalam industri seni.
Jangan khuatir
Mengulas lanjut, Masrun meminta penggiat seni tanahair yang tidak mempunyai pendapatan tetap supaya tidak merasa khuatir kerana taksiran cukai dikenakan tidak sama dengan pekerja yang digaji secara bulanan.
Katanya, bayaran seseorang artis yang diterima melalui perjanjian atau kontrak - sama ada penaja, syarikat rakaman atau penerbitan - dianggap sebagai pendapatan komersial atau perniagaan.
“Ia mesti diisytiharkan melalui borang B yang mesti dihantar selewat-lewatnya pada 30 Jun setiap tahun kepada LHDN dan mengisytiharkan semua pendapatan serta perbelanjaan yang layak dituntut.
“Jika mendapat dua atau tiga tawaran yang membolehkan mereka menerima jumlah pendapatan sebanyak RM50,000 sekaligus misalnya, kita (LHDN) tidak mengenakan cukai ke atas jumlah sebanyak itu.
“Kita memahami ada perbelanjaan perlu dilibatkan bagi mendapatkan RM50,000 itu seperti membayar pengurus, tol, petrol, tambang ke lokasi dan publisiti untuk mendapatkan tawaran itu,” katanya.
50 peratus tak bayar cukai
Masrun berkata, LHDN pernah membuat analisis dan mendapati sebanyak 50 peratus daripada artis tidak membayar cukai.
Bagaimanapun katanya, jumlah itu hanya diambil secara rawak kerana tidak dapat memastikan jumlah sebenar artis dalam industri.
“Sebab kita tidak tahu berapa ramai artis di Malaysia, ada juga yang baru di pasaran, jadi kami tiada angka sebenar dan lakukan sampel.
“Dalam 100 selebriti yang kita kaji, terbukti 50 peratus dalam kalangan mereka tidak menghantar borang.
“Dari situ kita mendapati kalau tidak hantar bermakna tidak bayarlah,” katanya.
Sementara itu, mengenai pelepasan cukai untuk skop aktiviti komersial yang memerlukan mereka tampil menarik ketika melakukan persembahan, Masrun berkata, ia adalah dibenarkan seperti bayaran kepada jurusolek, pengurus dan sewa pakaian.
Namun diingatkan bahawa, LHDN hanya membenarkan semua perbelanjaan semata-mata dikeluarkan dalam melaksanakan perkhidmatan hiburan.
“Sebarang perbelanjaan yang bersangkut-paut dengan kegunaan peribadi selebriti tidak layak diberikan potongan dalam pengiraan cukai pendapatan mereka.
“Bermaksud, kos pembelian alat solek dan membuat rawatan kecantikan tidak dibenarkan potongan dalam kiraan cukai pendapatan kerana bersifat penggunaan peribadi,” katanya.
MALAYSIAKINI, 5 JANUARI 2017


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...