BUTTERWORTH 30 Sept. - Seorang bekas setiausaha
syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan
membuat pernyataan audit palsu terhadap empat syarikat tempat dia bekerja sejak
tiga tahun lalu.
Gok Ching Hee (gambar), 42, mengaku
bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut dengan mengunakan sebuah firma audit
iaitu LKH & Associates sejak 30 Jun 2010 sehingga 24 Ogos 2011, selepas
pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah, Siti Sarah Abdul Rahim.
Mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan sementara menunggu hukuman dijatuhkan pada 7 Oktober ini.
Mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan sementara menunggu hukuman dijatuhkan pada 7 Oktober ini.
Mengikut pertuduhan pertama, Ching Hee pada 24
Ogos 2011 yang ketika itu bekerja sebagai setiausaha syarikat Golden Crossback
Arowana Breeding Farm Sdn. Bhd., di Jalan Besar, Taman Sungai Bakap, Nibong
Tebal dituduh dengan niat untuk memperdaya apabila membuat pernyataan palsu
kepada pengarah syarikat terbabit.
Tertuduh didakwa membuat pernyataan palsu yang
terkandung dalam Penyata Juruaudit Mengenai Syarikat Swasta Terkecuali bagi
tahun kewangan berakhir 28 Februari 2011 dengan menyatakan juruaudit syarikat
itu adalah LKH & Associates sedangkan syarikat itu tidak pernah dilantik
oleh syarikat Golden Crossback Arowana Breeding.
Bagi pertuduhan kedua pula, Ching Hee sebagai
setiausaha syarikat EL Chong Motor Trading Sdn. Bhd., pada 30 Jun 2010 didakwa
melakukan kesalahan sama bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2009.
Sementara bagi pertuduhan ketiga dan keempat,
Ching Hee pada 30 Jun 2011, sebagai setiausaha syarikat Aun Chuan Lee Trading
& Transport Sdn. Bhd., dan Prosful Trading Sdn. Bhd., didakwa membuat
pernyataan palsu dalam penyata audit kedua-dua syarikat itu bagi tahun kewangan
berakhir pada 31 Disember 2010.
Pertuduhan kelima pula menyebut, pada 30 Jun
2011, sebagai setiausaha syarikat EL Chong Motor Trading Sdn. Bhd., tertuduh
didakwa membuat pernyataan palsu dalam penyata audit syarikat itu bagi tahun
kewangan berakhir pada 31 Disember 2010.
Kelima-lima pertuduhan itu didakwa dilakukannya
di alamat syarikat-syarikat tempatnya bekerja sebagai setiausaha di Jalan
Besar, Taman Sungai Bakap, Nibong Tebal.
Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa
mengikut Seksyen 364A(1)(a) Akta Syarikat dan boleh dihukum penjara maksimum 10
tahun atau denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendali oleh pegawai pendakwa
daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd. Zulkhairi Kamaruzaman
manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Artikel ini disiarkan pada : 01/10/2013
Sumber : Utusan Malaysia