KUALA LUMPUR: Hasil kutipan cukai barang dan
perkhidmatan (GST) sehingga 31 Oktober tahun ini adalah RM32.71 bilion,
manakala RM27.01 bilion kutipan direkodkan untuk tempoh 1 April 2015 sehingga
31 Oktober 2015. Menurut Kementerian Kewangan, semua hasil cukai itu dimasukkan
ke dalam Kumpulan Wang Disatukan bersama-sama dengan cukai langsung dan cukai
tidak langsung yang dikutip Kerajaan Persekutuan.
"Seterusnya, kutipan cukai GST
dikembalikan sebagai agihan peruntukan bagi tujuan pembangunan negara dan
kesejahteraan rakyat, termasuk menambah baik sektor pendidikan, kesihatan,
kemudahan infrastruktur serta keperluan pembangunan dan kemajuan ekonomi
negara," katanya dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat
hari ini. Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit
Buntar) mengenai jumlah GST yang dikutip sejak dilaksanakan serta jumlah
kutipan yang digunakan untuk meringankan beban rakyat. GST mula berkuat kuasa
pada 1 April tahun lalu. - BERNAMA
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/215225