KUALA LUMPUR: Kementerian
Kewangan sedang mengkaji kemungkinan untuk mengenakan cukai ke atas perniagaan
dalam talian pada tahun depan, sejajar kepesatan perkembangan sektor berasaskan
internet di negara ini.
Sehubungan itu, Ketua Setiausaha
Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata kementerian
sudah mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan kajian terperinci
mengenai perkara itu.
Malah, katanya, pihak LHDN sudah
menubuhkan Bahagian Perniagaan dan Perdagangan Dalam Talian, turut bekerjasama
dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tujuan itu.
"Kita perlu mengenakan cukai
terhadap mereka yang memperoleh pendapatan boleh dicukai. Jika tidak, ia hanya
menyebabkan kerugian kepada kerajaan yang kehilangan hasil ketika semakin
banyak syarikat perniagaan beralih kepada ekonomi digital," katanya.
Beliau berkata demikian selepas
menyampaikan ucaptama di Forum Sektor Awam - Pembaharuan Kewangan Bagi
Pembangunan Ekonomi Asia, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Irwan
berkata, pihaknya juga berhasrat memastikan syarikat perniagaan dalam talian
untuk berdaftar dengan pihak SSM.
"Ini bagi membolehkan kita
mengetahui jumlah pendapatan yang mereka peroleh," tegasnya.
Beliau berkata, kajian oleh
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menunjukkan pendapatan pemandu
teksi/kenderaan perkhidmatan Uber dan Grab boleh mencecah sehingga RM7,000
sebulan iaitu angka yang boleh dikenakan cukai.
Pendapatan bulanan boleh dicukai
ketika ini adalah sekitar RM3,000 hingga RM4,000.
Terdahulu, ketika berucap, Mohd
Irwan berkata, kerajaan kekal komited kepada inisiatif pengukuhan fiskal dalam
usaha memantapkan kedudukan kewangan serta bagi mencapai sasaran bajet seimbang
pada 2020.
Beliau turut menyuarakan rasa
optimisnya bahawa hutang kerajaan dapat berada di paras kurang 55 peratus
daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Kita berharap dapat
merendahkan lagi paras itu kepada kurang 50 peratus menerusi langkah
pengurangan pembaziran serta perbelanjaan secara berhemat, namun ini pastinya
akan memakan masa," katanya.
Mengulas tindakan melindungi syarikat
berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan, beliau berkata
kementerian kini bekerjasama untuk melaksanakan penggubalan akta Syarikat Milik
Kerajaan dan GLC (SOGA).
Jelasnya, SOGA bertujuan
memantapkan GLC dan memacu ekonomi domestik dan pada masa sama membolehkan
syarikat berkenaan kekal berdaya saing baik di peringkat tempatan serta global.
- BERNAMA
Sumber : Berita Harian Online