Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa kerajaan
mempertingkat usaha membantu menaikkan ekonomi bumiputera ke tahap yang
diperlukan.Dalam satu kenyataan semalam, MTEM berkata di sebalik usaha yang
diambil sekarang, bumiputera masih dibelenggu beberapa masalah, antaranya
peluang mencari pekerjaan yang rendah, pendapatan isi rumah tidak sama rata dan
juga kenaikan kos sara hidup yang tidak seiring dengan pendapatan.
MTEM juga mengenal pasti isu pemilikan aset oleh bumiputera
yang masih rendah berbanding etnik lain.
"Bumiputera hanya memiliki 26.1 peratus pemilikan
rumah berbanding etnik lain, 5.4 peratus untuk pemilikan bangunan komersial dan
0.9 peratus peratus untuk pemilikan bangunan industri. "Malah, terdapat 12
peratus rakyat Malaysia langsung tidak mempunyai apa-apa, 25 peratus tidak
mempunyai aset hartanah dan 53
peratus tidak mempunyai aset kewangan," katanya.
MTEM berkata majoriti perniagaan Melayu juga masih
terperangkap dalam sektor perniagaan kecil dan mikro, merangkumi 98 peratus
daripada jumlah perusahaan kecil dan sederhana yang ada di Malaysia.
"Jurang-jurang ekonomi ini harus ditangani dalam
menjadikan agenda bumiputera sebagai agenda nasional.
"Jika jurang ini ditangani, nescaya permasalahan
ekonomi bumiputera dapat diselesaikan dan bumiputera dapat bersama etnik lain,
berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam membantu negara mencapai negara
maju," katanya.
- Bernama