From: xx@yahoo.com
To: mr.radzi@yahoo.com
Sent: Friday, September 25, 2015 3:17 PM
Subject: bantuan nasihat
selamat petang.
Saya ingin meminta belas kasihan serta budi baik tuan/puan agar membantu saya dengan memberi pandangan dan nasihat. Saya sangat ketakutan serta buntu dengan masalah yang saya hadapi sekarang
Saya pernah bekerja di miri. Dan apabila saya sampai disana saya dapati company yang berstatus sdn.bhd tersebut bermasalah. Kemudian saya telah dipaksa untuk menjadi pengarah disebuah company tersebut dengan jaminan dari pengarah yang utama segala masalah company akan ditanggung beliau. Namun proses perlantikan saya sebagai company tidak sah kerana beliau tidak mengikut prosedur yang betul(meniru tandatangan pengarah sebelum ini dan saksi). Saya sudah meletak jawatan pada bulan 8 2014 dan meminta beliau melantik pengarah baru. Namun sekarang semua pemiutang mencari saya. Lebih malang saya tidak menyimpan sebarang dokumen perlantikan saya. Apa patut saya buat? adakah saya boleh mengatakan jawatan saya sebagai pengarah tidak sah kerana tidak ikut prosedur? Jika bergitu adakah saya terselamat dari bayaran hutang syarikat berkenaan? Apa patut saya buat?
Harap pihak tuan dapat membantu saya.
JAWAPAN
Salam sejahtera,
Terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami. Berikut merupakan maklumbalas berhubung soalan yang telah diajukan :
Tanggungjawab Pengarah Syarikat
Perkara yang perlu difahami ialah Pengarah terikat dengan Akta Syarikat apabila sudah dilantik untuk jawatan tersebut. Walaupun Pengarah tersebut hanya digunakan sebagai Penama atau tujuan lain, namun tanggungjawab sebagai Pengarah tetap ada dan tidak terlepas.
Secara teknikalnya, Pengarah adalah individu yang bertanggungjawab dalam mewakilkan Syarikat Sdn. Bhd. Sekiranya terdapat masalah di kemudian hari, maka secara tidak langsung Pengarah tersebut perlulah bertanggungjawab.
Perlantikan dan perletakan jawatan sebagai Pengarah Syarikat
Segala urusan perlantikan dan perletakan jawatan sebagai Pengarah Syarikat perlulah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Akta Syarikat dan diuruskan oleh pihak Setiausaha Syarikat yang telah dilantik.
Berdasarkan soalan Tuan/Puan, status sebagai Pengarah bolehlah merujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Setiausaha Syarikat yang dilantik. Selain itu, segala aduan dan permasalahan bolehlah berurusan terus dengan pihak SSM.
Hutang Syarikat
Secara amnya, Pengarah tidak bertanggungjawab terhadap hutang Syarikat secara peribadi kerana konsep entiti berasingan. Entiti berasingan membawa maksud sesebuah perniagaan atau Syarikat itu wujud sebagai satu entiti atau unit yang berasingan daripada Pemegang Saham dan para Pengarah.
Hutang yang dilakukan atas kapasiti Syarikat dan bagi tujuan perniagaan, akan terikat kepada Syarikat sahaja. Ianya tidak akan melibatkan para Pemegang Saham dan juga para Pengarah melainkan hutang atau liability tersebut merupakan pinjaman secara peribadi oleh para Pengarah dan Pemegang Saham.
Kesimpulan
Berdasarkan soalan Tuan/Puan, pihak Syarikat bolehlah mendapatkan nasihat, pandangan dan makluman yang lebih lanjut daripada Setiausaha Syarikat yang telah dilantik dan pihak SSM bagi mengetahui prosedur yang perlu dilakukan seterusnya.
Sekian. Harap penerangan di atas dapat membantu