KUALA LUMPUR: Jabatan Akauntan Negara Malaysia diminta supaya meningkatkan
aktiviti penguatkuasaan serta menambah baik dan memperketatkan sistem kawalan
dalaman bagi mempertingkatkan lagi pengurusan Wang Tidak Dituntut (WTD). Menurut Laporan Ketua Audit Negara tahun 2013 Siri 3, kriteria dan pemilihan
kes untuk pemeriksaan WTD perlu memberi fokus kepada syarikat atau firma yang
berisiko.
"Pada pendapat Audit, matlamat penguatkuasaan Akta WTD 1965 tidak
tercapai kerana skop Bahagian Pengurusan Amanah dan Sekuriti (BPAS) belum
meliputi pengesanan syarikat atau firma yang tidak menyerahkan WTD,"
demikian menurut laporan itu.
Akauntan Negara Malaysia dilantik sebagai Pendaftar WTD dibawah Akta WTD
1965.
Peranan Pendaftar WTD itu dijalankan oleh BPAS, Jabatan Akauntan Negara dan
sehubungan itu, BPAS bertanggungjawab memastikan penguatkuasaan Akta WTD 1965
dilaksanakan dengan berkesan dan sistematik. Laporan Ketua Audit berkata BPAS perlu menyediakan senarai semak sebagai
Prosedur Operasi Standard yang perlu dipatuhi oleh semua pegawainya semasa
pemeriksaan WTD. Sejak penubuhan unit WTD, BPAS berjaya meningkatkan jumlah serahan Wang Tak
Dituntut sebanyak RM3.844 juta dari tahun 2005 hingga 2012. Sementara itu, Laporan itu turut menyebut data serahan WTD yang terdedah
kepada unsur pindaan boleh mengundang risiko penyelewengan.
"Sehubungan
itu, penambahbaikan proses memuat naik data serahan maklumat empunya WTD
(UMA-3) ke dalam sistem Borang Daftar Wang Tak Dituntut (G-UMIS) perlu
dilaksanakan," kata laporan itu.
Antara pelaksanaan yang dicadangkan ialah UMA-3 dalam bentuk Microsoft Excel
perlu dibuat dalam format dilindungi daripada sebarang pindaan serta mempunyai
elemen kawalan.
Antara kelemahan sistem kawalan dalaman ialah maklumat WTD dalam UMA-3
berbentuk salinan digital yang diterima daripada entiti boleh dibuat pindaan
sebelum dimuat naik ke dalam Sistem G-UMIS.
SUMBER:http://www.bharian.com.my/node/16800