17 September 2014

CADANG PINDA AKTA AKAUNTAN 1967 BERTUJUAN PERKASA PROFESION PERAKAUNAN

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Cadangan pindaan Akta Akauntan 1967 oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA) hanya bertujuan memperkasakan profesion perakaunan di negara ini.

Presiden MIA, Johan Idris berkata, cadangan pindaan tersebut masih di peringkat perbincangan.

Menurut beliau, antara isu yang dibincangkan termasuk perbezaan di antara akauntan berkelulusan profesional dan akauntan yang berkelulusan di peringkat ijazah sama ada dari luar atau dalam negara.

"Penelitian tidak melibatkan perbezaan antara kedua-dua kelas tersebut, maka soal 'merendahkan martabat universiti tempatan' tidak seharusnya timbul.

"Dalam mana-mana institusi perakaunan global, semua graduan universiti termasuk yang mempunyai taraf tertinggi dunia masih perlu mengambil beberapa peperiksaan sebelum diberikan kelulusan profesional dalam bidang akaun," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Dekan-dekan dan Ketua Jabatan Perakaunan Universiti Tempatan, Prof. Dr. Kamil Md. Idris yang mendakwa hasrat kerajaan menghasilkan lebih ramai golongan profesional Melayu dan bumiputera dalam bidang perakaunan dikhuatiri terjejas disebabkan tindakan MIA yang dikatakan cuba meminda Akta Akauntan 1967.

Menurut Johan, profesion perakaunan perlu diperkukuhkan untuk membolehkan akauntan memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya saing negara selaras dengan agenda transformasi kerajaan.

Katanya, sebagai badan kawal selia profesion perakaunan, MIA bertanggungjawab mempergiatkan usaha meningkatkan taraf bidang tersebut.

"Antaranya adalah berdasarkan saranan oleh Bank Dunia menerusi Laporan Pemantauan Piawaian dan Kod (Akaun dan Audit) (ROSC) yang dikeluarkan pada Februari 2012.

"ROSC berfungsi sebagai penilai kedudukan profesion perakaunan di Malaysia," ujarnya.

Selain itu, Johan menyatakan, lanjutan daripada ROSC, sebuah jawatankuasa memperkukuhkan profesion (CSAP) ditubuhkan pada Mac tahun lalu di bawah Kementerian Kewangan.

Sehubungan itu katanya, cadangan pindaan Akta Akauntan perlu mengambil kira saranan dari ROSC dan CSAP.

Tambahnya, mengikut tadbir korporat MIA, tiada mana-mana pihak akan diminta meninggalkan mesyuarat kecuali mereka mempunyai kepentingan di dalam perkara yang dibincangkan bagi mengelak keadaan percanggahan kepentingan.

"Oleh itu, dakwaan wakil institut pengajian tinggi awam diminta keluar ketika perbincangan pelan tindakan khas di mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan MIA adalah tidak benar," katanya.


UTUSAN MALAYSIA
17 September 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...