25 November 2016

Kutipan GST RM32.71b sehingga 31 Oktober




KUALA LUMPUR: Hasil kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sehingga 31 Oktober tahun ini adalah RM32.71 bilion, manakala RM27.01 bilion kutipan direkodkan untuk tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Oktober 2015. Menurut Kementerian Kewangan, semua hasil cukai itu dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan bersama-sama dengan cukai langsung dan cukai tidak langsung yang dikutip Kerajaan Persekutuan.


 "Seterusnya, kutipan cukai GST dikembalikan sebagai agihan peruntukan bagi tujuan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat, termasuk menambah baik sektor pendidikan, kesihatan, kemudahan infrastruktur serta keperluan pembangunan dan kemajuan ekonomi negara," katanya dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini. Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) mengenai jumlah GST yang dikutip sejak dilaksanakan serta jumlah kutipan yang digunakan untuk meringankan beban rakyat. GST mula berkuat kuasa pada 1 April tahun lalu. - BERNAMA
                                                                   

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/215225





18 May 2016

PENIAGA DALAM TALIAN MUNGKIN KENA CUKAI TAHUN DEPAN


KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan sedang mengkaji kemungkinan untuk mengenakan cukai ke atas perniagaan dalam talian pada tahun depan, sejajar kepesatan perkembangan sektor berasaskan internet di negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata kementerian sudah mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan kajian terperinci mengenai perkara itu.
Malah, katanya, pihak LHDN sudah menubuhkan Bahagian Perniagaan dan Perdagangan Dalam Talian, turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tujuan itu.

"Kita perlu mengenakan cukai terhadap mereka yang memperoleh pendapatan boleh dicukai. Jika tidak, ia hanya menyebabkan kerugian kepada kerajaan yang kehilangan hasil ketika semakin banyak syarikat perniagaan beralih kepada ekonomi digital," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Forum Sektor Awam - Pembaharuan Kewangan Bagi Pembangunan Ekonomi Asia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Irwan berkata, pihaknya juga berhasrat memastikan syarikat perniagaan dalam talian untuk berdaftar dengan pihak SSM.
"Ini bagi membolehkan kita mengetahui jumlah pendapatan yang mereka peroleh," tegasnya.

Beliau berkata, kajian oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menunjukkan pendapatan pemandu teksi/kenderaan perkhidmatan Uber dan Grab boleh mencecah sehingga RM7,000 sebulan iaitu angka yang boleh dikenakan cukai.

Pendapatan bulanan boleh dicukai ketika ini adalah sekitar RM3,000 hingga RM4,000.

Terdahulu, ketika berucap, Mohd Irwan berkata, kerajaan kekal komited kepada inisiatif pengukuhan fiskal dalam usaha memantapkan kedudukan kewangan serta bagi mencapai sasaran bajet seimbang pada 2020.

Beliau turut menyuarakan rasa optimisnya bahawa hutang kerajaan dapat berada di paras kurang 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kita berharap dapat merendahkan lagi paras itu kepada kurang 50 peratus menerusi langkah pengurangan pembaziran serta perbelanjaan secara berhemat, namun ini pastinya akan memakan masa," katanya.

Mengulas tindakan melindungi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan, beliau berkata kementerian kini bekerjasama untuk melaksanakan penggubalan akta Syarikat Milik Kerajaan dan GLC (SOGA).
Jelasnya, SOGA bertujuan memantapkan GLC dan memacu ekonomi domestik dan pada masa sama membolehkan syarikat berkenaan kekal berdaya saing baik di peringkat tempatan serta global. - BERNAMA


Sumber : Berita Harian Online

01 March 2016

Ops Kesan Buru Majikan Gagal Daftar, Carum Pekerja

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan melancarkan 'Ops Kesan' bermula 1 April ini bagi mengesan majikan yang gagal mendaftar dan mencarum pekerja masing-masing. 



Ketua Eksekutif, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata pihaknya memberi tempoh sebulan bagi program pemutihan hingga akhir bulan ini. 

Katanya, kira-kira 400 anggota akan digerakkan ke seluruh negara berdasarkan kawasan yang sudah dikenal pasti.

 "Majikan yang gagal mendaftar dalam tempoh 30 hari program pemutihan akan dikenakan kompaun RM500 hingga RM4,000 mengikut tempoh kelewatan.

"Hingga 31 Disember lalu, seramai 499,840 majikan aktif sudah mendaftar dengan 6.3 juta pekerja mendapatkan perlindungan PERKESO," katanya pada sidang media Ops Kesan di sini, hari ini. 

Sehubungan itu, Mohammed Azman mengingatkan majikan yang layak tetapi belum mendaftar supaya tampil secara sukarela di mana-mana 49 pejabat PERKESO seluruh negara. 

Sejak 2009 hingga tahun lalu, katanya, sebanyak 27,449 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk 68 peratus kerana gagal mendaftar perusahaan dan pekerja.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/129576


Sumber : Berita Harian Online

19 February 2016

Usaha bantu bumiputera perlu dipertingkatkan


                   
 

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa kerajaan mempertingkat usaha membantu menaikkan ekonomi bumiputera ke tahap yang diperlukan.Dalam satu kenyataan semalam, MTEM berkata di sebalik usaha yang diambil sekarang, bumiputera masih dibelenggu beberapa masalah, antaranya peluang mencari pekerjaan yang rendah, pendapatan isi rumah tidak sama rata dan juga kenaikan kos sara hidup yang tidak seiring dengan pendapatan.

MTEM juga mengenal pasti isu pemilikan aset oleh bumiputera yang masih rendah berbanding etnik lain.
"Bumiputera hanya memiliki 26.1 peratus pemilikan rumah berbanding etnik lain, 5.4 peratus untuk pemilikan bangunan komersial dan 0.9 peratus peratus untuk pemilikan bangunan industri. "Malah, terdapat 12 peratus rakyat Malaysia langsung tidak mempunyai apa-apa, 25 peratus tidak mempunyai  aset hartanah dan 53 peratus tidak mempunyai aset kewangan," katanya.

MTEM berkata majoriti perniagaan Melayu juga masih terperangkap dalam sektor perniagaan kecil dan mikro, merangkumi 98 peratus daripada jumlah perusahaan kecil dan sederhana yang ada di Malaysia.
"Jurang-jurang ekonomi ini harus ditangani dalam menjadikan agenda bumiputera sebagai agenda nasional.
"Jika jurang ini ditangani, nescaya permasalahan ekonomi bumiputera dapat diselesaikan dan bumiputera dapat bersama etnik lain, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam membantu negara mencapai negara maju," katanya.

- Bernama


24 October 2015

Q&A: Hutang dan Pengarah Sdn Bhd




From: xx@yahoo.com
To: mr.radzi@yahoo.com
Sent: Friday, September 25, 2015 3:17 PM
Subject: bantuan nasihat



selamat petang.


Saya ingin meminta belas kasihan serta budi baik tuan/puan agar membantu saya dengan memberi pandangan dan nasihat. Saya sangat ketakutan serta buntu dengan masalah yang saya hadapi sekarang

Saya pernah bekerja di miri. Dan apabila saya sampai disana saya dapati company yang berstatus sdn.bhd tersebut bermasalah. Kemudian saya telah dipaksa untuk menjadi pengarah disebuah company tersebut dengan jaminan dari pengarah yang utama segala masalah company akan ditanggung beliau. Namun proses perlantikan saya sebagai company tidak sah kerana beliau tidak mengikut prosedur yang betul(meniru tandatangan pengarah sebelum ini dan saksi). Saya sudah meletak jawatan pada bulan 8 2014 dan meminta beliau melantik pengarah baru. Namun sekarang semua pemiutang mencari saya. Lebih malang saya tidak menyimpan sebarang dokumen perlantikan saya. Apa patut saya buat? adakah saya boleh mengatakan jawatan saya sebagai pengarah tidak sah kerana tidak ikut prosedur? Jika bergitu adakah saya terselamat dari bayaran hutang syarikat berkenaan? Apa patut saya buat?

Harap pihak tuan dapat membantu saya.



JAWAPAN

Salam sejahtera,



Terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami. Berikut merupakan maklumbalas berhubung soalan yang telah diajukan :

Tanggungjawab Pengarah Syarikat

Perkara yang perlu difahami ialah Pengarah terikat dengan Akta Syarikat apabila sudah dilantik untuk jawatan tersebut. Walaupun Pengarah tersebut hanya digunakan sebagai Penama atau tujuan lain, namun tanggungjawab sebagai Pengarah tetap ada dan tidak terlepas.

Secara teknikalnya, Pengarah adalah individu yang bertanggungjawab dalam mewakilkan Syarikat Sdn. Bhd. Sekiranya terdapat masalah di kemudian hari, maka secara tidak langsung Pengarah tersebut perlulah bertanggungjawab.

Perlantikan dan perletakan jawatan sebagai Pengarah Syarikat

Segala urusan perlantikan dan perletakan jawatan sebagai Pengarah Syarikat perlulah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Akta Syarikat dan diuruskan oleh pihak Setiausaha Syarikat yang telah dilantik.

Berdasarkan soalan Tuan/Puan, status sebagai Pengarah bolehlah merujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Setiausaha Syarikat yang dilantik. Selain itu, segala aduan dan permasalahan bolehlah berurusan terus dengan pihak SSM.

Hutang Syarikat

Secara amnya, Pengarah tidak bertanggungjawab terhadap hutang Syarikat secara peribadi kerana konsep entiti berasingan. Entiti berasingan membawa maksud sesebuah perniagaan atau Syarikat itu wujud sebagai satu entiti atau unit yang berasingan daripada Pemegang Saham dan para Pengarah.

Hutang yang dilakukan atas kapasiti Syarikat dan bagi tujuan perniagaan, akan terikat kepada Syarikat sahaja. Ianya tidak akan melibatkan para Pemegang Saham dan juga para Pengarah melainkan hutang atau liability tersebut merupakan pinjaman secara peribadi oleh para Pengarah dan Pemegang Saham.

Kesimpulan

Berdasarkan soalan Tuan/Puan, pihak Syarikat bolehlah mendapatkan nasihat, pandangan dan makluman yang lebih lanjut daripada Setiausaha Syarikat yang telah dilantik dan pihak SSM bagi mengetahui prosedur yang perlu dilakukan seterusnya.





Sekian. Harap penerangan di atas dapat membantu
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...