Showing posts with label Penubuhan Syarikat. Show all posts
Showing posts with label Penubuhan Syarikat. Show all posts

08 December 2016

SKM terus rangsang penglibatan koperasi



KUALA LUMPUR 2 Dis. – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terus merangsang penglibatan koperasi-koperasi di lima bidang aktiviti sektor utama dan kisah-kisah kejayaan koperasi tidak terhad kepada sektor perkhidmatan kewangan.

Menurut SKM, antara koperasi yang terus melakar kejayaan termasuklah Koperasi Orang Melayu Kerajaan Perak Bhd. (SKOMK) yang merupakan koperasi berdaftar sejak 13 Oktober 1924 dengan keanggotaan seramai 5,567 orang.

Koperasi tersebut yang memiliki saham dan yuran anggota sebanyak RM30 juta turut memiliki aset bernilai RM54 juta dalam bentuk bangunan dan ladang.

SKOMK mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM12.6 juta tahun lalu dan menduduki tempat ke-61 dalam indeks 100 koperasi terbaik di Malaysia pada 2015.

“SKOMK turut memiliki pusat pengedaran dan cawangan dan telah dianugerahkan kedai harga patut dalam kategori pasar mini pada tahun ini.

“Rantaian nilai yang diwujudkan oleh koperasi tersebut telah memberikan kelebihan tawaran harga patut kepada barangan yang dijual di pasar mini mereka,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Koperasi Iskandar Malaysia Berhad (imCoop) didaftarkan pada 14 November 2014 merupakan koperasi menengah yang dianggotai oleh 98 buah koperasi seluruh Negeri Johor mempunyai seramai 65,000 anggota dan turut disokong sepenuhnya Kerajaan Ne­geri Johor dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).





Objektif utama penubuhan adalah bagi membangunkan perniagaan rangkaian kedai harga patut berasaskan model koperasi dengan menawarkan harga yang berpatutan kepada pengguna dan mencipta peluang perniagaan baharu kepada koperasi melalui rantaian nilai perniagaan yang berkesan serta pengurusan perniagaan yang komprehensif dan strategik.

ImCoop turut menyasarkan untuk membuka 150 kedai harga patut muafakat di Johor menjelang 2018 berbanding sembilan buah cawangan sedia ada ketika ini.

“Usaha ini mencerminkan peranan koperasi selain terlibat dalam bidang perniagaan pemborongan peruncitan tetapi juga terlibat sebagai ejen dalam menangani isu kos sara hidup dengan menawarkan harga barangan berpatutan di cawangan-cawangannya,” ujar SKM.

Selain koperasi yang menjalankan aktiviti perniagaan, terdapat juga koperasi yang melaksanakan aktiviti pertanian seperti Koperasi Peserta-peserta Felcra Kawasan Hulu Berang Hulu Terengganu Bhd.

Koperasi tersebut telah membangunkan stesen mi­nyak mini pada tahun 2011 setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kos pembinaan berjumlah RM622,000.

“Sehingga Disember 2015 hasil jualan stesen minyak berjumlah RM3.64 juta yang telah memberikan peningkatan tinggi kepada perolehan koperasi,” jelasnya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/bisnes/usahawan/skm-terus-rangsang-penglibatan-koperasi-1.415581
 

29 January 2015

Q&A : Pertanyaan penubuhan Syarikat


From: xxx@gmail.com

To: mr.radzi@yahoo.com

Sent: On Saturday, January 24, 2015 4:31 PM

Subject: Pertanyaan penubuhan Syarikat


Salam En. Radzi,

Saya terjumpa blog tuan dan ingin bertanya tetang situasi saya.
Saya berkerja dan menetap di xxx sehingga sekarang. Saya akan membeli sebidang tanah di xxx berharga RM200k pada bulan March ini. Tanah tersebut ialah tanah pertanian yang mempunyai pokok getah. Saya bercadang untuk membeli dan terus mencagarkan tanah itu supaya mendapat modal untuk memajukan tanaman dan ternakan kambing di tanah tersebut.

Soalan saya;

  1. Pada situasi diatas, adakah lebih baik membeli tanah atas nama personal atau nama syarikat?
  2.  Untuk menjalankan aktivity pertanian dan ternakan dengan kos permulaan sekitar 20,000 - 50,000 berapakah modal berbayar yang patut?
  3. Perlukah modal berbayar ini di naikan dari RM2 dan apa kebaikannya?
  4. Berapa lamakah masa yang diambil untuk menubuhkan syarikat sdn bhd sehingga kepada pembukaan akaun bank syarikat?
  5. Adakah lebih baik jika kesemua aktiviti diatas hanya dengan syarikat enterprise?

Harap mendapat maklum balas dari tuan.
Terima kasih.
xxx


JAWAPAN

Waalaikumsalam,

Terima kasih kerana mengunjungi blog kami dan mengajukan soalan kepada pihak kami. Berikut merupakan maklumbalas berhubung soalan yang telah diajukan :

1.      Aset Syarikat dan aset pemilik

Terpulang kepada individu itu sendiri sama ada membeli tanah atas nama peribadi ataupun Syarikat. Jika dibeli atas nama Syarikat, ianya akan menjadi aset dan hak milik Syarikat. Jika dibeli atas nama individu pula, tanah tersebut boleh juga dimasukkan sebagai aset Syarikat.

Pada pandangan kami, tanah tersebut dibeli atas nama individu. Manakala Syarikat pula boleh membayar sewa kepada individu tersebut atas penggunaan tanah tersebut.

2.      Modal berbayar

Jumlah Modal berbayar adalah terpulang kepada kemajuan dan keperluan kewangan Syarikat tersebut.

Untuk makluman, apabila sebuah Syarikat menerbitkan saham, maka  pihak yang melanggan saham tersebut wajib membayar saham yang dilanggan. Modal saham boleh ditingkatkan melalui secara Tunai (Cash) atau Bukan Tunai (Non Cash). Bukan Tunai merujuk kepada selain daripada Tunai seperti Kenderaan, Bangunan, Tanah dan lain-lain yang boleh dinilaikan secara rasional.

Saham tersebut merupakan modal perniagaan bagi Syarikat. Apabila saham telah dibayar oleh pihak yang melanggan, maka hakmilik sepenuhnya oleh Syarikat dalam menggunakan modal tersebut. Oleh yang demikian, modal berbayar boleh membantu Syarikat dalam menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih teratur.

3.      Penambahan modal berbayar dan kebaikannya

Secara amnya, untuk menubuhkan Syarikat memerlukan kos permulaan minimum bayaran sebanyak RM2,000 dan ke atas. Ini merupakan sebahagian modal awal yang dibayar oleh Pemegang Saham itu sendiri. RM2 merujuk kepada jumlah nilai minimum saham yang perlu ada di Syarikat.

Oleh yang demikian, modal saham berbayar RM2 sepatutnya menjadi lebih daripada RM2,000 (bersesuaian dengan kos penubuhan Syarikat). Secara amnya, modal berbayar yang lebih tinggi dapat mengukuhkan perniagaan itu sendiri.

4.      Tempoh untuk menubuhkan Syarikat Sdn Bhd

Tempoh untuk menubuhkan Syarikat Sdn. Bhd. adalah dalam tempoh 4-6 hari waktu bekerja sahaja. Pembukaan akaun bank Syarikat boleh dilakukan selepas Syarikat ditubuhkan. Adalah dinasihatkan untuk memasukkan modal berbayar (cash) ke dalam bank Syarikat dalam tempoh sebulan selepas Syarikat ditubuhkan.

5.      Enterprise dan Sdn Bhd

Perbezaan antara Enterprise dan Syarikat Sdn Bhd adalah :

  • Penyata perakaunan bagi Enterprise tidak perlu diaudit
  • Tiada Laporan Tahunan yang perlu diserah simpan kepada SSM bagi Enterprise
  • Penubuhan Enterprise lebih mudah.
  •  Kelemahan Enterprise – setiap urusan berkaitan dengan SSM tidak boleh diwakilkan oleh pihak ketiga. Tidak seperti Syarikat Sdn. Bhd. yang boleh diwakilkan oleh Setiausaha Syarikat.
Jika melibatkan modal dan usaha yang banyak dan berterusan dalam perniagaan, entity Syarikat Sdn. Bhd. adalah dicadangkan. Walaupun kos agak tinggi berbanding Enterprise, namun ianya mempunyai kelebihan tersendiri.

Secara amnya, Syarikat Sdn. Bhd. kebanyakkan ditubuhkan bagi mereka yang agak serius dan komited dengan perniagaan mereka. Syarikat Sdn. Bhd. juga dilihat sebagai lebih professional dan selamat kerana ia dapat memastikan kesinambungan Syarikat itu akan berterusan dan ianya boleh diwarisi. Prosedur-prosedur Syarikat Sdn. Bhd. adalah tertakluk dibawah Akta Syarikat 1965.


Namun bagi peniaga kecil-kecilan, perniagaan Enterprise adalah digalakkan.

KESIMPULAN

Pada pendapat kami, jenis perniagaan yang boleh ditubuhkan sama ada Syarikat Sdn Bhd atau Enterprise adalah terpulang kepada individu itu sendiri dan juga sejauh mana individu itu komited dalam menjalankan perniagaan tersebut.

Sekian. Harap penerangan di atas dapat membantu.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...